Seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki merogol anak tirnya ditahan polis Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di sebuan restoran pada Rabu lalu kerana disyaki merogol anak tirinya berusia 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan mangsa perempuan warga tempatan itu pada Selasa lalu.

“Kejadian dirogol oleh bapa tirinya itu beberapa kali bermula tahun lalu dan seterusnya diteruskan bermula Mac sejak PKP (perintah Kawalan Pergerakan) hingga Jun lalu ketika PKPD dilaksanakan di sebuah rumah di Petaling Jaya.

“Mangsa juga mengalami trauma dan kemurungan akibat kejadian ngeri pada dirinya sehingga takut menceritakan kepada ibu kandungnya sehinggalah pada 14 September lalu mangsa menceritakan nasib yang menimpa dirinya kepada guru kaunseling di sekolahnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Nik Ezanee, suspek ditahan reman selama tujuh hari untum disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu (Sumbang Mahram).

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta dihukum dengan sebatan.

“Polis turut meneruskan siasatan kes dengan beberapa individu telah dipanggil untuk membantu siastan sementara mangsa telah dirujuk segera ke sebuah hospital untuk pemeriksaan perubatan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan menghubungi polis Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette