Hazwan Mohamad
Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal berbahasa Mandarin dianggap sebagai menghina identiti Malaysia yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad mendesak supaya badan tersebut menutup portal berbahasa Mandarin itu dengan segera.

Malah kerajaan katanya, tidak harus membiarkan perkara sedemikian berlaku sama sekali.

“Saya menganggap ini adalah satu penghinaan terhadap identiti nasional watan kita.

“Selepas 63 tahun kita merdeka, dan berpuluh generasi berlalu adakah kita masih lagi mahu bersikap ‘tak apa’ dalam situasi ini ?

“Sepatutnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromi. Cantik di atas kertas kita ada Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 152, kita ada Dasar Bahasa Kebangsaan, kita ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Adakah ini hanya di atas kertas semata?

“Apa punca sehingga kita masih lagi berdepan dengan situasi sebegini rupa? Bukan sekadar masyarakat Cina marhaen sahaja malah sehingga ke Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pun masih gagal berbahasa kebangsaan dengan baik.

“Ini adalah amat memalukan bagi sebuah negara berdaulat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SPRM melancarkan sebuah portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai badan tersebut.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Setiap urusan dng badan berkanun MESTI mengunakan bahasa kebangsaan.!

    Tiada bahasa kedua ketiga dn sebagainya!

    SPRM….MOHON AMBIL PERHATIAN!

    CUKUP2LAH !

Comments are closed.