Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Ramah Mesra Dun Api-Api Bersama Presiden PKR sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di The Palace Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin akan terus mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri jika kerajaan Pakatan Harapan memerintah kelak. 

Beliau yang diminta mengulas kenyataan Lim Guan Eng berkata, Setiausaha Agung itu hanya memberikan pandangan.

“Dia tidak sebut macam tu, saya baca. Dia beri pandangan, tidak mengapa kita dengar pandangan tidak ada masalah,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Program Ramah Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Guan Eng dilaporkan berkata, Anwar perlu memberi laluan kepada Shafie untuk menjadi perdana menteri sekiranya ahli Parlimen Port Dickson itu gagal mendapat sokongan.

Mengulas lanjut Anwar berkata: “Dia beri laluan pada saya dan kalau saya tidak boleh. Jawapannya saya, saya boleh. Insyallah,” katanya.

Sebelum ini, Jun lalu nama Ketua Menteri Sabah itu diperkatakan menjadi calon perdana menteri yang disepakati oleh PH Plus.

Bagaimanapun, parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah yang didakwa setuju dengan cadangan itu kemudian mengeluarkan kenyataan bersama memaklumkan perkara itu perlu diputuskan di peringkat PH. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.