Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kluster Benteng LD hari ini menyaksikan peningkatan apabila sebanyak 27 kes baharu dilaporkan di Sabah.

Ia merupakan sebahagian daripada 52 kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengahari tadi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kenaikan itu menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 10,219 kes.

Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 734 kes dan mereka ini telah diasingkan serta diberi rawatan.

Dr. Noor Hisham memaklumkan daripada 52 kes baharu yang dilaporkan, 12 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu tiga warganegara dan sembilan sembilan warga asing.

“Memperincikan lanjut kes import berkenaan, lapan kes baru pulang dari India iaitu tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; tiga kes dilaporkan di Selangor dan dua kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan .

“Satu kes dari Indonesia dilaporkan di Selangor manakala tiga lagi kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang mana masing-masing datang dari Bangladesh, Yaman dan Rusia.

“Daripada 40 kes penularan di dalam negara, 26 kes adalah warganegara Malaysia dan 14 kes adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan terbaharu Covid-19 di negara ini.

Katanya, daripada 40 kes itu, majoritinya iaitu sebanyak 36 kes dilaporkan di Sabah, yang mana 27 kes daripadanya membabitkan kes baharu kluster Benteng LD iaitu 15 orang warga tempatan dan 12 warga asing.

Menurut beliau penambahan 27 kes baharu kluster Benteng LD menjadikan jumlah kes positif bagi kluster itu setakat ini adalah sebanyak 578 kes.

Ujarnya, dua kes daripada kluster Selamat melibatkan warga tempatan, satu kes penambahan kluster Pulau juga warga tempatan.

“Satu kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan warga tempatan, satu kes saringan komuniti Semporna yang turut melibatkan warganegara, satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Lahad Datu yang melibatkan warga asing; satu kes saringan sebelum masuk kerja yang melibatkan warga asing dan dua kes saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu yang melibatkan warga tempatan.

“Di Kedah tiga kes saringan komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar yang melibatkan tiga warganegara; dan satu kes daripada kluster Ara di Pulau Pinang juga membabitkan warga tempatan.

“KKM juga ingin memaklumkan terdapat 40 kes yang telah pulih  pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya  adalah sebanyak 9,355 kes (91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Tegas Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 10 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia tidak merekodkan penambahan kes baharu dan kekal pada kadar 130 kes (1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegasnya.-MalaysiaGazette