Sungai Gong di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) hari ini menegaskan kejadian air di Sungai Gong, Rawang menjadi hitam, bukan berpunca daripada pelepasan efluen Loji Rawatan Kumbahan Kawasan Perindutsrian Rawang (GBK134) seperti dilaporkan media, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam, sebaliknya berkata pihaknya telah mengenal pasti terdapat buangan bukan kumbahan berwarna kuning dalam kebuk masuk loji tersebut sehingga menyebabkan efluen di peringkat proses akhir loji tercemar dengan warna kuning pekat.

“Petugas IWK di loji terbabit masih memantau dan mengawal kemasukan air kumbahan ke loji. Kami mengesyaki terdapat pembuangan sisa secara haram berlaku berdekatan dengan loji IWK sehingga bahan terbabit mengalir masuk ke dalam loji.

“Sehubungan itu, petugas kami terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya hari ini. Kerja-kerja dos bahan kimia dijalankan dengan pantas bagi mengawal keadaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, media melaporkan bahawa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan insiden air Sungai Gong, Rawang berwarna hitam tetapi tiada bau yang disyaki disebabkan pewarna.

Hasil siasatan lanjut, LUAS menemukan pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan IWK GBK 134 area 5, di kawasan Perindustrian Rawang.

Kesal dengan dakwaan itu, Narendran berkata perkara itu boleh mengelirukan orang ramai selain menjadi penyebab untuk mereka menuding jari kepada IWK, walaupun punca sebenar berkemungkinan daripada pembuangan sisa secara haram.

“IWK sangat kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian terbaharu ini tanpa membuat sebarang pemeriksaan rapi atau melaporkan maklumat secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa loji rawatan air kumbahan direka bentuk hanya bagi merawat air kumbahan dan ia tidak mampu merawat sebarang bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembentungan.

Tegasnya, pembuangan sisa haram bukan kumbahan adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

— BERNAMA