Anifah Aman

KOTA KINABALU – Kenyataan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hendak menyaman Petronas jika gagal membayar Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas petroleum diambil dari Sabah menimbulkan tanda tanya.

Persoalan timbul kerana mengapa baharu sekarang setelah kehilangan kuasa dan kepercayaan majoriti Ketua Menteri Sabah itu bersuara.

Walhal selama lebih 26 bulan berkuasa tidak pula Shafie bersuara ‘macam-macam’ seperti sekarang.

“Adakah kerana kini situasinya berbeza, terdesak mahu undi dan kepercayaan rakyat, oleh itu segala macam dakwaan serta pendedahan, malah janji di tabur,” tanya Datuk Seri Anifah Aman

Menurut Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), beliau tidaklah kata kenyataan Shafie itu tidak bagus mahupun hendak membantah.

Tetapi ia adalah cadangan serta aku janji manifesto PCS sejak dari awal lagi.

”Yang saya pelik sekali, mengapa kini Shafie berbunyi, bercakap dengan nada cukup lantang di hadapan rakyat Sabah di mana-mana dia keluar kempen? Apakah yang dilakukan olehnya selama ini? Selama 26 bulan dia menjadi Ketua Menteri?

”Apakah ketika itu lagi bukan menjadi keutamaannya dan mengapa ketika musim pilihan raya? Mengapa tidak ketika beliau menjadi Ketua Menteri dan berdiri teguh dengan semua pemimpin utama di Semenanjung.

“Mengapa sekarang bercakap seperti ini seperti sesuatu yang baharu?,” soalnya berterusan.

Anifah yakin seandainya berita Petronas dan anak syarikatnya menyelesaikan pembayaran SST sebanyak RM2.9 bilion untuk produk petroleum kepada Sarawak tidak didedahkan, mungkin Shafie ‘senyap’ sahaja.

”Saya sememangnya pelik perangai Shafie ini, jika dia ikhlas dalam perjuangan royalti dan SST minyak Sabah, dia tidak perlu tunggu sampai berita kejayaan Sarawak terima SST, baru keluar kenyataan.

”Semestinya dia tidak boleh bercakap seperti ini ketika pemerintahan ‘gurunya’ Tun Dr Mahathir Mohamad yang bukan sekali, sebaliknya berulang kali menolak permintaan royalti 10 peratus dan SST minyak negeri Sabah,” ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu tidak menolak Shafie semakin sedar Warisan kian lemah di mata rakyat.

“Adakah isu royalti dan SST minyak terus digunakan untuk agenda tersendiri? Saya bertanya kerana saya juga ingin tahu.

“Kenapa Shafie masih lagi mempermainkan anak-anak Sabah seperti mereka tidak tahu apa-apa? Sudahlah, Warisan. Sabah sedar! Jangan mainkan sentimen kami lagi untuk undi dan kuasa semata-mata wahai Shafie Apdal.

”Wahai rakyat Sabah, jangan tertipu lagi. Sudah-sudahlah dengar retorik ini, kata-kata manis serta suara lantang di medan politik sahaja bukan untuk diri anda, sebaliknya agenda peribadi, lagi-lagi terdesak dapatkan undi,” tegasnya.

PCS telah memasukkan agenda royalti minyak sebagai salah satu agenda utama dalam dalam manifesto perjuangan parti itu pada 15 September lepas.

Manifesto itu turut menjadi bualan penduduk setempat kerana akhirnya PCS memberikan harapan dengan cadangan mewujudkan Kementerian Industri Minyak dan Gas bagi memperjuangkan hak royalti dan SST Sabah yang menjadi igauan sejak sekian lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast