KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia (TM) menjelaskan tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi dalam kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps tersebut.

Meskipun begitu, TM kesal dengan kesilapan tentang maklumat pakej tersebut dalam soalan-soalan Lazim yang tertera dalam portal unifi dan risalah pada 2 September lalu.

”Konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukannya 200Mbps seperti mana yang tertera dalam versi FAQ, portal unifi dan risalah sebelum ini.

”Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluarkan penjelasan berkenaan perkara tersebut pada lewat hari Jumaat.

”Kami akan terus bersikap telus dalam memaklumkan kepada para pelanggan tentang perkara ini dan kami sedang memperkemas proses-proses kami supaya perkara sebegini tidak berulang,” kata TM sambil memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Artikel berkaitan:SKMM siasat aduan pengurangan kelajuan Pakej Unifi 500Mbps TM

Tambahnya, semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan atau “Try Me” memandangkan pakej berkenaan baharu sahaja diperkenalkan kurang sebulan lalu iaitu pada 24 Ogos 2020.

Oleh itu, para pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.

”Kami akan menghubungi para pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kesilapan tersebut dan pilihan yang mereka ada, bermula esok, 21 September 2020.

”Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah
dikemas kini dengan maklumat yang betul,” kata TM. – MalaysiaGazette