Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan jumlah bantuan sebanyak RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40 di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan RM500 turut diberikan kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang dan RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40.

Selain itu kata beliau, seramai 1.7 juta kumpulan M40 bujang mendapat RM300 di bawah BPN 2.0 itu.

“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada bulan Januari.

“Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober  adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah sebanyak RM300.

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini,” katanya dalam Pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin di sini hari ini.

Muhyiddin memberitahu, bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

Belia berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, rakyat dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian dan seisi keluarga.

“Semua inisiatif khas di bawah Kita Prihatin ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM10 bilion. Sekali lagi saya akan meminta Kementerian Kewangan dan agensi LAKSANA untuk memastikan bantuan dan inisiatif ini disalurkan kepada rakyat tepat pada masanya,” katanya. – MalaysiaGazette