Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berbincang dengan peguamnya ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sama ada disabitkan atau dilepaskan atas pertuduhan rasuah RM2 juta akan diketahui pada 17 Nov ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan  dan pendakwaan pada akhir kes pembelaan selama dua hari pada 11 Sept dan hari ini.

Mohamed Zaini juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas hujahan masing-masing.

“Saya tetapkan 10.30 pagi untuk keputusan,” katanya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan lebih 80 barang kes termasuk dokumen permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan, cek RM2 juta, penyata bank syarikat, penyata tahunan UMNO dan dokumen anggaran perbelanjaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur  iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah Urusan AKSB Tan Sri Chai Kin Kong.

Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac lalu dengan Tengku Adnan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama.

Saksi lain yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar Datuk Rizalman Mokhtar.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Tengku Adnan memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari, pada 17 Jan dan 5 Mac lepas.

Tengku Adnan, 69, yang lebih dikenali sebagai “Ku Nan” didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Rasanya beliau d lepaskan. Bukti sabitan agak tidak kukuh. Lagi pn beliau telah membayar tunggakan cukai pendapatan dlm saman oleh LHDN

Comments are closed.