KUALA LUMPUR – Penyanyi yang popular dengan lagu-lagu irama tradisional, Noraniza Idris; vokalis utama May, Mus serta bekas vokalis Rusty Blade, Yantzen merupakan antara bintang yang bakal menyahut cabaran dalam program Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh terbitan Astro.
Turut bersama-sama mengiringi tiga nama besar itu dalam pertandingan yang akan berlangsung dalam suasana norma baharu adalah penyanyi Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira dan Haslinda.
Tidak ketinggalan ialah Cliff Umar (Projek Pistol), Aju (Success), Oja dan Nomad.
GV7 yang memperkenalkan tagline ‘Mara Suara Membara’ juga mempertaruhkan dua buah kumpulan yang pernah popular sekitar tahun 1990-an iaitu Indigo dan Eva.
Program GV seperti yang umum sedia maklum menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, matlamat Astro menerbitkan GV bukan sekadar membawakan sebuah program hiburan yang bersifat feel good semata-mata.
Sebaliknya, peranan besar GV, kata beliau, ialah selaku penghubung yang menyatukan peminat dunia seni hiburan tanah air.
Sementara itu, GV kali ini juga masih mengekalkan Datuk Ramli MS sebagai juri tetap bersama-sama dengan penghibur terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim.
Sementara seorang lagi juri jemputan profesional turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu.
Bermula 11 Oktober ini, GV7 akan kembali menjadi igauan penonton-penonton setia program itu dengan dua personaliti terkenal, Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih dikekalkan sebagai pengacara. – MalaysiaGazette