Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Katanya, dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

“Dakwaan ini hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” kata Muhyiddin dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi ini. InsyaAllah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Anwar dalam sidang media hari ini mendakwa menunggu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan sokongan majoriti yang diperolehnya.

Beliau sepatutnya mengadap baginda semalam (22 September), namun pertemuan itu terpaksa ditangguhkan kerana Yang di-Pertuan Agong dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk menerima rawatan.

Keadaan baginda dilaporkan stabil dan tidak membimbangkan. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.