Datuk Mohamaddin Ketapi. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bermula Selasa lalu sehingga hari ini, sebanyak 72 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap bekas menteri, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Angka itu menyaksikan pertambahan berbanding 35 laporan polis yang direkodkan pada Selasa lalu terhadap pemimpin Parti Warisan itu.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,  Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap pemimpin itu masih diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Pendakwaan dan Undang-Undang (D5).

“Setakat ini jumlah laporan polis yang diterima masih kekal 72 laporan, ” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini beliau mengesahkan kes sedang dikendalikan USJT D5 di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pemimpin itu akan dipanggil dalam masa terdekat – dipercayai selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk dirakam keterangan.

Ia berhubung siasatan yang dihadapinya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina anggota keselamatan negara menerusi ceramah kempen PRN Sabah Ahad lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bukit Aman siasat Mohamaddin