Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, membuktikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap GRS untuk menerajui pentadbiran negeri itu.

Justeru, kemenangan GRS di 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diterjemah dengan melaksanakan segala amanah yang diberi untuk memajukan pembangunan Sabah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan calon yang memenangi PRN itu supaya menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.

Meraikan kejayaan GRS, Abdul Hadi berkata PAS akan terus komited menyumbang peranannya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama.

“Tahniah kepada GRS yang diterajui Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atas kemenangan dalam PRN Sabah. Kepada pengundi, terima kasih atas kepercayaan ini,” katanya dalam laman Facebook.

Di TERENGGANU,  Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemenangan GRS adalah manifestasi pilihan tulus rakyat Sabah melihat dan merasai kemampuan PN yang dapat mentadbir dengan lebih baik di peringkat Persekutuan selain faktor calon daripada gabungan itu yang lebih berupaya dan kompeten berbanding saingannya.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkata keputusan PRN semalam menandakan rakyat Sabah memberikan sokongan yang utuh kepada GRS untuk membawa kemajuan dan pembangunan di negeri itu.

“Mandat yang diberikan ini merupakan tanggungjawab yang amat besar kepada pemimpin GRS dalam usaha berterusan untuk memulihkan negeri dan membawa pembangunan mampan yang akan dinikmati seluruh rakyat,” katanya.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob juga menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini berkata melalui demokrasi tersebut, ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan rakyat Sabah kepada GRS yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya percaya kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan yang stabil demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah. Selamat berkhidmat kepada semua wakil rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada jentera PAS yang turut berkempen pada PRN itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast