Datuk Mohd Zaini Hassan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) menyambut baik saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama universiti itu.

Presidennya, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata, langkah itu perlu memandangkan terdapat peningkatan kes jangkitan wabak Covid-19 yang ketara akhir-akhir ini.

“Penangguhan pelajar dari zon merah ini bukan sahaja demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar UiTM, tetapi ia juga meliputi kakitangan dan staf akademik yang merupakan penggerak universiti.

“Sebarang kejadian yang tidak ingin akan menjejaskan pentadbiran universiti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zaini, PAUiTM memahami kesulitan yang dihadapi oleh sebahagian pelajar yang terlibat tetapi pada masa sama meminta semua pihak memahami situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Semalam, Noraini Ahmad dalam kenyataannya menyarankan institusi pengajian tinggi menangguhkan dahulu urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bulan depan.

Sehubungan dengan itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim memutuskan agar semua kemasukan pelajar baharu dan semasa dari Sabah di UiTM ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Jelasnya, arahan penangguhan itu juga tertakluk kepada mana-mana pelajar dari Semenanjung ke kampus UiTM di Sepanggar, Sabah serta mereka daripada kawasan di negeri-negeri lain yang diisytiharkan zon merah. – MalaysiaGazette