Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Movenpick Hotel dan Convention Centre, Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020

SEPANG – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar pentadbiran mahkamah syariah memberikan keutamaan terhadap penggunaan teknologi baharu dalam situasi penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, pengalaman daripada episod pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa penggunaan teknologi merupakan satu kewajipan.

“Tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang merupakan suatu tuntutan agama.

“Ini adalah sebahagian daripada norma baharu dalam pentadbiran kehakiman Islam yang mesti diberikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 di Hotel Movenpick, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Muhyiddin berkata, dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik Covid-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah adalah pengaplikasian prinsip maqasid syariah.

Ujarnya, sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat.

Tambahnya, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan “lockdown” atau dikenali sebagai PKP, banyak urusan yang berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

Katanya, tindakan itu telah berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, namun, pada masa yang sama, ia juga memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.

“Pentadbiran mahkamah syariah adalah antara yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini termasuk penutupan mahkamah yang memerlukan sistem kehakiman berfungsi dalam keadaan norma baharu seperti pelaksanaan urusan mahkamah menerusi sistem dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette