Perumahan kondominium mendapat banyak permintaan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 menyebabkan permintaan hartanah sewa di seluruh negara bagi tempoh separuh pertama tahun ini menurun sebanyak -5.6%.

Menurut Laporan Analitik Permintaan Hartanah Separuh Pertama Tahun 2020 (Pasaran Sewa) iProperty.com.my, sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula pada hujung minggu pertama Julai, pemulihan sebanyak +25% dapat dilihat pada kunjungan hartanah sewa di laman web hartanah itu.

Pemulihan pasaran pada penghujung separuh pertama 2020 meringankan kesan buruk awal pandemik terhadap pasaran hartanah sewa dan membawa kepada penurunan permintaan keseluruhan hanya sebanyak -5.6%.

Dalam tempoh itu, hartanah bertingkat tinggi berharga lebih memperoleh hasil sewa yang lebih tinggi berbanding rumah teres. Kondominium dan kediaman servis masing-masing merekodkan hasil sewa sebanyak +4.17% dan +4.03% .

Manakala rumah teres pula mencatatkan hasil sebanyak +3.43%.

Sebaliknya, kondominium merupakan jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan penyewa di empat ibu negeri utama iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

”Situasi tidak menentu ekoran penularan Covid-19 membuatkan ramai pencari hartanah mempertimbangkan untuk menyewa dan bukannya membeli rumah.

“Kemungkinan ini menjadi punca kenaikan angka kunjungan dan penyenaraian hartanah sewa bagi Kuala Lumpur berbanding separuh pertama 2019 dan membawa kepada penurunan permintaan hartanah yang lebih sederhana iaitu sebanyak -2.9% bagi ibu negara ini.

”Pencari hartanah sewa amat berminat dengan hartanah yang menawarkan sewa antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan,” menurut laporan tersebut.

Di Kuala Lumpur, antara kawasan yang merekodkan hasil sewa terbaik pada separuh pertama 2020 adalah Pantai, Brickfields, Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

Manakala angka permintaan hartanah sewa bagi Selangor turut mengalami penurunan yang sedikit iaitu -1.2%, berpunca daripada kadar kenaikan angka penyenaraian yang lebih tinggi berbanding kenaikan angka kunjungan.

Bagi tempoh tersebut Ulu Kelang merupakan kawasan paling pesat membangun dari segi permintaan sewa dengan pertumbuhan permintaan +44.21% tahun atas tahun (YoY).

Sebilangan besar pencari hartanah sewa di Selangor berminat dengan kondominium yang menawarkan harga sewa sebanyak RM2,000 sebulan dan ke bawah. Permintaan hartanah sewa di Selangor telah beralih ke kawasan pinggir bandar seperti Ulu Kelang, Bangi, Klang, Rawang dan Semenyih disebabkan harga yang lebih berpatutan.

Di dalam kawasan ini, pencari hartanah kebanyakannya mencari kediaman bertingkat tinggi dengan harga jualan yang lebih rendah.

Katanya, walaupun angka kunjungan dan penyenaraian di Pulau Pinang mengalami pertumbuhan pada tempoh berkenaan tetapi permintaan keseluruhan pasaran hartanah sewa di negeri utara tanah air tersebut menurun sebanyak -13.7% disebabkan angka penyenaraian yang lebih tinggi berbanding angka kunjungan.

Permintaan hartanah sewa Johor jatuh sebanyak -19.5% pada separuh pertama tahun ini disebabkan angka penyenaraian yang lebih besar berbanding angka kunjungan pengguna.

Walau bagaimanapun, median harga sewa di Johor iaitu RM1,400 sebulan masih lebih rendah berbanding negeri utama lain.

Iskandar Puteri merekodkan pertumbuhan permintaan tahun ke tahun paling pesat iaitu +35% disebabkan penyenaraian hartanah sewanya yang berkurang menjadi separuh, terutamanya bagi segmen kondominium.

Ramai pencari hartanah sewa berminat dengan harga sewa di bawah RM2,500 sebulan di Iskandar Puteri tetapi kawasan di Johor dengan permintaan paling tinggi iaitu Pasir Gudang yang juga merekodkan hasil sewa paling tinggi di negeri tersebut dengan rumah teres muncul sebagai pilihan paling popular.

Bandar perindustrian ini merekodkan hasil sewa hampir +7% manakala harga sewa mediannya adalah RM1,200 sebulan. – MalaysiaGazette