KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan kaedah baharu bagi pembayaran caj tempat letak kereta bahu jalan di ibu negara mulai esok.

Ia bagi menggantikan penggunaan mesin yang berakhir hari ini.

Menurut kenyataan DBKL, orang ramai boleh membayar menerusi aplikasi mudah alih dan e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash.

Katanya, bagi memberi lebih pilihan, DBKL sedang melaksanakan perancangan dan integrasi dengan Boost dan Touch n Go e-dompet.

“Pada ketika ini, pas harian dan pas bulanan untuk parkir masih belum beroperasi. Kemudahan ini akan diaktifkan setelah naik taraf sistem dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, permohonan untuk petak khas masih beroperasi seperti biasa dan kadar caj tempat letak kereta masih kekal seperti sedia ada. – MalaysiaGazette