Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN), Barisan Nasional (BN) dan parti-parti sekutunya perlu mengelakkan diri daripada bertelingkah dan bertikam lidah sesama sendiri di dalam media.

Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, parti-parti yang membentuk kerajaan hari ini perlu memperbanyakkan perbincangan secara tertutup.

“Pilihan menyegerakan penyerahan mandat kepada rakyat (PRU15) wajar diberi perhatian.

“Parti-parti elok perbanyakkan syura secara tertutup dan elakkan percakaran dalam media.

“Ini masa pertajam strategi dan kuatkan muafakat..Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah banyak pengajarannya…faiza azamta fatawakkal alallah,” katanya dalam ciapan terbaru di laman Twitter, hari ini.

Sebelum ini, pelantikan jawatan Ketua Menteri Sabah baharu menjadi pertikaian antara Bersatu dengan UMNO susulan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dimenangi pada 26 September lalu.

Bagaimanapun UMNO terpaksa mengalah buat kali ketiga memberi laluan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Dalam pada itu, Annuar turut mengingatkan agar parti-parti politik tidak melupakan matlamat dan dasar perjuangan masing-masing selepas membentuk kerajaan.

“Sementara parti politik mula mengatur strategi mencari ruang membina kekuatan masing-masing dalam suasana Order Baharu, tidak seharusnya mereka lupa pada matlamat dan dasar perjuangan masing-masing.

“Jangan terlajak marchiavelli…mengejar matlamat lalu menghalalkan cara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette