Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai saingan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam ini.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai saingan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam ini.

Kemenangan kelapan yang dicatat JDT dalam kempen musim 2020 itu meletakkan skuad Harimau Selatan sembilan mata di hadapan pencabar terdekat Perak, sekali gus menamatkan perebutan takhta lebih awal dengan baki satu perlawanan liga.

Tiga gol pertama JDT disumbangkan pemain import Diogo Luis Santo pada minit ke-38 diikuti dua gol menarik dicipta Muhammad Safawi Rasid masing-masing pada minit ke-57 dan minit ke-81 untuk menjadikan kedudukan 3-1 selepas gol pelawat menerusi Dennis Buschening pada minit ke-74 mengurangkan defisit jaringan.

Pemain import tuan rumah Leandro Velazquez melengkapkan malam gemilang JDT apabila menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-84 sekali gus mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut JDT sejak musim 2013.

Sementara itu, kekalahan Sabah itu meletakkan Skuad Tambadau yang mengumpul sembilan mata kini di ambang penyingkiran.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast