PETALING JAYA – Satu sindiket judi atas talian yang beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan mengaburi mata pihak berkuasa di sebalik nama syarikat perisian aplikasi permainan akhirnya berjaya ditumpaskan.
Kejayaan itu menyusul selepas penahanan seramai 37 orang warga tempatan termasuk 11 wanita yang disyaki ahli sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 43 tahun dicekup dalam operasi di sebuah premis perniagaan di Seksyen 123 Petaling Jaya sekitar jam 4.30 petang semalam.
Katanya, serbuan dijayakan oleh pasukan Cawangan Perjudian dan Maksiat (D7) selepas mengesyaki menjalankan perjudian atas talian.
“Semasa pemeriksaan dijalankan polis menahan kesemua suspek warga tempatan itu dan pemeriksaan lanjut dalam premis berjaya menemui beberapa peralatan yang digunakan mempromosi dan menerima pertaruhan perjudian atas talian.
“Siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak Julai lalu dan berselindung di bawah sebuah syarikat perisian yang menghasilkan aplikasi permainan.
“Siasatan lanjut juga mendedahkan modus operandi mereka iaitu membina aplikasi judi atas talian , mereka bentuk platform dan mengendali link judi online itu serta memberi sokongan teknikal kepada pengguna aplikasi online,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah kata Nik Ezanee, setiap anggota sindiket itu ditugaskan memantau status pelanggan sama ada menang atau kalah dalam permainan judi.
Hasil siasatan terhadap semua suspek itu juga mendedahkan mereka bertanggungjawab mempromosi dan menguruskan lebih 500 jenis aplikasi judi online.
“Lagi pun mereka menggerakkan operasi haram berkenaan untuk urusniaga transaksi wang pelanggannya menggunakan jaringan akaun-akaun di tujuh buah bank negara Thailand.
“Waktu operasi perniagaan sindiket judi online itu adalah bermula 8 pagi hingga 7 malam setiap hari dengan mensasarkan pelanggan dari Thailand.
“Untuk tujuan itu, pekerja syarikat itu menerima gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000 bergantung kepada tugas yang dilakukan,” jelas beliau.
Kesemua suspek direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 kerana menjalankan perniagaan perjudian atas talian.
Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) ARJT 1953 kerana telah mempromosi permainan perjudian atas talian dan seksyen 4(1)(h) ARJT 1953 kerana menguruskan pertaruhan perjudian atas talian.
Hasil serbuan di premis itu juga polis berjaya merampas 38 buah komputer riba, 33 buah monitor, 15 telefon bimbit, empat tablet, satu dekoder kamera litar tertutup dan empat modem.-MalaysiaGazette