Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 432 kes baharu positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengah hari ini, rekod harian tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,813 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,336 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 432 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan dua warganegara dan satu bukan warganegara mengembara dari India, Kuwait dan Myanmar.

“Satu kes dari India dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan warganegara, satu kes dari Kuwait dilaporkan di Sarawak yang merupakan warganegara satu lagi kes dari Myanmar dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan bukan warganegara,” katanya.

Tambah beliau, daripada 429 kes penularan di dalam negara, 409 kes adalah warganegara Malaysia dan 20 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 429 kes penularan di dalam negara, 409 kes adalah warganegara Malaysia dan 20 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 429 kes tersebut juga, sebanyak 224 kes merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah.

“Sebanyak 29 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 235 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kedah merupakan negeri yang mencatatkan kes paling tinggi hari ini berbanding kes baharu yang dikesan semalam.

“Sebanyak 241 kes baharu di Kedah, Sabah (130), Selangor (34), Terengganu (lima), Labuan (empat), Johor (dua), Perak (dua), Putrajaya (dua), Negeri Sembilan (satu), Pahang (satu), Melaka (satu) dan Kelantan (satu),” katanya.

Katanya lagi, terdapat 32 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, setakat hari ini juga tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 137 kes (1.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Bagaimanapun katanya lagi, sebanyak 57 kes yang telah pulih Covid-19 telah dilaporkan hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10,340 kes (80.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette