Pasangan suami isteri kini dibenar mengeluarkan Akaun 2 KWSP untuk rawatan kesuburan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan pengeluaran kesihatan terbaharu bagi rawatan kesuburan kepada pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan cahaya mata.

Ini merupakan usaha nasional untuk menangani trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan dan kesannya terhadap sistem kesihatan dan ekonomi negara.

KWSP berkata, ahli yang layak dibenar membuat pengeluaran bagi rawatan kesuburan bermula 1 September 2020.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Zahir berkata, ahli KWSP boleh mengeluarkan simpanan dalam Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan seberapa kali yang diinginkan, tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2.

”Pilihan Pengeluaran Kesihatan – Rawatan Kesuburan ini adalah tanda sokongan kami kepada pasangan yang ingin mendapatkan rawatan ini tetapi menghadapi kekangan kerana kos yang tinggi,” katanya sempena pelancaran pengeluaran itu.

Pelancaran Pengeluaran Kesihatan-Rawatan Kesuburan itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Pengeluaran itu telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020.

Pengeluaran di bawah rawatan kesuburan ini boleh dibuat untuk permanian beradas (IUI), persenyawaan in-vitro (IVF) dan intracytoplasmic sperm injection (ICSI).

Hanya pasangan suami isteri yang sah sahaja yang layak memohon.

Ahli boleh membuat permohonan untuk diri sendiri, pasangan atau membuat permohonan bersama.

Bagaimanapun, rawatan tersebut hanya boleh dijalani di institusi perubatan tempatan.

Ahli yang ingin membuat Pengeluaran Kesihatan – Rawatan Kesuburan boleh mengemukakan permohonan mereka di mana-mana cawangan KWSP berserta dokumen-dokumen sokongan seperti laporan perubatan, sijil perkahwinan dan bil / resit untuk rawatan tersebut.

Maklumat lanjut mengenai pengeluaran ini boleh didapati dari laman sesawang https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals/partial/health#Rawatan_Kesuburan – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahi lah ni KWSP…kita nak keluarkan wang dari akaun dua utk byr bulanan pinjaman rumah pun banyak songeh..nak itu nak ini lah..macam sial.

Comments are closed.