Gambar hiasan

MELAKA – Seorang lelaki memakai gelang berwarna merah jambu ditahan polis dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di Bandar Hilir di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata bertindak atas maklumat, pada pukul 9.30 malam sepasukan anggota polis telah pergi ke premis berkenaan dan menjumpai lelaki terbabit yang berumur 43 tahun bersama isterinya berumur 34 tahun.

“Isterinya memberitahu bahawa suaminya merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu masih memakai gelang tangan berwarna merah jambu dengan tempoh kuarantin dari 30 Sept hingga 15 Okt.

“Lelaki itu dikenal pasti sebagai kontak terdekat individu positif COVID-19. Ketika polis meminta dia mengemukakan surat pelepasan perintah kuarantin Kementerian Kesihatan, dia gagal berbuat demikian dan memaklumkan masih belum membuat saringan COVID-19 kali kedua,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Afzanizar berkata lelaki itu kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga tamat tempoh kuarantin di rumah dan polis akan melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu, tular dalam aplikasi media sosial Facebook, gambar lelaki memakai gelang berwarna merah jambu COVID-19, memasuki pasar raya untuk membeli barang keperluan.

Paparan yang dimuat naik pengguna Facebook itu mengatakan telah terserempak dengan pasangan berkenaan dan dipercayai lelaki itu menyorokkan gelang dipakainya di bawah jam tangan, seterusnya melaporkan perkara berkenaan kepada pengurus pasar raya.

— BERNAMA