Datuk Hasanah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar 11 daripada 37 saksi kes perbicaraan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luaran Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid, memberi keterangan secara tertutup.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata beliau membenarkan permohonan itu demi keselamatan negara.

“Pihak pendakwaan akan mendedahkan hal-hal berkaitan keselamatan negara untuk tatapan orang awam selain mendapat liputan media secara meluas sekiranya bukti keterangan 11 saksi berkenaan berlangsung dalam mahkamah terbuka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat setelah mempertimbangkan afidavit yang disahkan oleh Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.

Afidavit itu, katanya, antara lain menyebut bahawa sekiranya perbicaraan tidak diadakan secara tertutup, maka identiti saksi akan terdedah kepada umum.

“Ini akan menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tugas secara efektif demi keamanan negara, malah turut membahayakan diri mereka.

“Kredibiliti Jabatan Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri juga akan terjejas teruk dan fungsi rahsianya akan banyak disekat dan dilumpuhkan.

“Berdasarkan alasan-alasan ini, saya mendapati bahawa pihak pemohonan telah memenuhi kesesuaian proses pengadilan mahkamah ini untuk membolehkan keterangan 11 saksi didengar secara tertutup demi keselamatan negara.

“Dengan ini, saya membenarkan permohonan (pihak pembelaan). Keterangan dari 11 saksi itu akan dilangsungkan secara tertutup ini,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata demi keadilan, adalah menjadi kewajiban mahkamah untuk menggunakan kuasanya sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Mahkamah Kehakiman untuk mengarahkan mana-mana bahagian daripada proses perbicaraan kes tersebut diadakan secara tertutup.

“Dengan berbuat demikian, saya tidak mendapati bahawa responden (Hasanah) akan terganggu dalam proses untuk membela dirinya secara efektif….Respoden masih boleh melakukan pemeriksaan balas terhadap 11 saksi yang akan memberi keterangan secara tertutup,” katanya.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA