KUALA LUMPUR – Operasi kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjalan seperti biasa dengan hanya beberapa jabatan sahaja ditutup sementara waktu sebagai langkah pencegahan Covid-19 diambil.

Langkah-langkah itu dibuat selepas Senator Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disahkan positif Covid-19 semalam.

USIM berkata, universiti itu melaksanakan proses sanitasi pada 5 Oktober 2020 (Isnin) di beberapa lokasi di dalam kampus yang melibatkan keberadaan Zulkifli oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menteri itu telah hadir dalam beberapa program di kampus USIM pada Jumaat lalu, 2 Oktober 2020 iaitu menyampaikan Khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz seterusnya mengadakan mesyuarat bersama Pengurusan Universiti serta melancarkan Portal Jom Infaq USIM di Bangunan Canselori.

USIM turut mengambil langkah mengarahkan staf dari beberapa jabatan yang terlibat di dalam program yang melibatkan YB Menteri untuk melaksanakan kuarantin kendiri serta bekerja dari rumah selama 14 hari mulai 6 sehingga 19 Oktober 2020.

Seramai 77 staf USIM yang dikenalpasti sebagai kumpulan kontak kedua (kontak rapat) oleh Pejabat Kesihatan Negeri Sembilan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diambil ujian swab mulai jam 2.30 petang hari ini (6 Oktober 2020) di Pusat Kesihatan Universiti.

Universiti menasihatkan semua staf yang terlibat melaksanakan kuarantin kendiri yang sebaiknya di kediaman masing-masing sehingga keputusan ujian diperolehi. – MalaysiaGazette