Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 375 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 14,368 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 3,703 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Daripada 375 kes baharu yang dilaporkan, menurutnya, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan bukan warganegara mengembara dari  Belgium iaitu dua kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan India juga mencatat dua kes di Sarawak.

Beliau berkata, daripada baki 371 kes penularan di dalam negara, sebanyak 342 kes adalah warganegara Malaysia dan 29 kes adalah bukan warganegara.

Jelas beliau, kes penularan di dalam negara itu melibatkan 18 kes yang merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeru itu sejak 20 September lalu sebanyak 301 kes.

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara melibatkan Sabah sebanyak 271 kes, Selangor adalah 36 kes dan Kedah sebanyak 16 kes,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sehingga kini, menurut Noor Hisham, terdapat 60 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 146 kes atau 1.02 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Noor Hisham menambah, sebanyak 18 kes telah dikesan daripada Kluster Tembok, Kluster Benteng LD dan Kluster Penjara Reman iaitu meliputi 4.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

Kesemua kes positif dalam kluster-kluster terasing ini adalah di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara dan ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat.

“Terdapat 18 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10,519 kes atau 73.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi. – MalaysiaGazette