Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan menutup sekolah tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan beliau secara sidang video di kediamannya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu antara lain membincangkan kes-kes baharu COVID-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Katanya mesyuarat juga memberi tumpuan khusus kepada situasi COVID-19 di Sabah.

“Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin) akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasmi beliau.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast