KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menggerakkan pasukan bantuan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu, Sabah bagi membantu menangani penularan Covid-19 di sana.
Mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah telah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes Covid-19 di sana lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, sehingga 8 Oktober 2020, sejumlah 249 orang anggota Perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam telah digerakkan secara dalaman negeri Sabah.
Sehingga tarikh yang sama juga, sejumlah 130 orang anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam telah digerakkan dari lain-lain negeri ke negeri Sabah.
Ini menjadikan secara keseluruhannya setakat ini 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu.
”Penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di negeri Sabah, di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana.
”Pada masa yang sama, kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan mereka selaku aset utama KKM dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik,” katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama membantu memerangi wabak ini.
KKM juga menyeru sekali lagi penglibatan lebih banyak sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.
Koordinasi akan dijalankan oleh pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan. – MalaysiaGazette
















