Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan agar semua program-program sukan di bawah kendalian kementerian dan agensi dibawahnya yang telah dirancang perlu ditangguhkan sehingga selepas 31 Oktober 2020.

Namun pengecualian diberikan bagi latihan harian sukan atlet-atlet yang berada di bawah program latihan sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua atlet negara, jurulatih, pegawai sukan dan semua pegawai dan kakitangan sokongan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung agar tidak mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN adalah dilarang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober 2020 kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.

Semua atlet perlu mematuhi arahan kawalan/larangan pergerakan keluar masuk asrama bermula 12 Oktober (Isnin) sehingga 31 Oktober 2020 (Sabtu). Pergerakan atlet hanya terhad kepada asrama dan tempat latihan termasuk gimnasium atau klinik mengikut jadual masa, penjarakan fizikal dan mengikut SOP yang ditetapkan.

Setiap atlet juga hanya dibenarkan keluar dari asrama seminggu sekali sahaja untuk ke satu lokasi tetap dengan kebenaran pengurus sukan dan jurulatih masing-masing.

Atlet, jurulatih dan pegawai yang telah melakukan pergerakan keluar dan masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kedah dan Klang atau pun kawasan zon kuning dan zon merah dalam masa seminggu kebelakangan ini adalah dilarang kembali ke asrama pusat latihan MSN sehingga 31 Oktober 2020 dan disarankan terus berada di lokasi masing-masing sehingga dimaklumkan kelak.

Malah, katanya, atlet, jurulatih dan pegawai juga hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dengan program-program berskala besar yang melibatkan orang ramai.

Atlet, jurulatih dan pegawai sukan hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang telah dikuatkuasakan ole h pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP Sukan dan Rekreasi yang telah ditetapkan sebelum ini dan arahan baru yang dikeluarkan dari semasa ke semasa;

Sekiranya atlet, jurulatih dan pegawai mengesyaki atau disyaki mempunyai kontak rapat dengan sesiapa yang disahkan positif Covid-19, ataupun sekiranya mempunyai simptom-simptom yang berkaitan, perlulah juga melaporkan diri ke Pusat Perubatan Sukan ISN bagi tindakan selanjutnya, ujarnya. – MalaysiaGazette