Sabah mencatat zon merah kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan 11 daerah mempunyai 40 kes positif ke atas.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sabah mencatat zon merah kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan 11 daerah mempunyai 40 kes positif ke atas.

Daerah Kota Belud menjadi zon merah terbaharu di Sabah apabila mencatatkan 43 kes berbanding 17 kes pada Jumaat lalu.

Zon tertinggi mencatatkan bilangan kes positif adalah Semporna dengan 551 kes, Kota Kinabalu 374 kes diikuti Tawau dengan 336 kes.

Daerah Sandakan (240 kes), Tuaran (190 kes), Lahad Datu (158 kes), Kunak (114 kes), Papar (108 kes), Penampang (69 kes) dan Putatan (60 kes).

Tiga lagi zon merah adalah di Kota Setar dengan 1,234 kes positif yang merupakan kes tertinggi setakat ini.

Klang pula sebanyak 77 kes dan daerah Petaling sebanyak 44 kes.

Sementara itu, sebanyak 55 zon kuning direkodkan dengan daerah Kubang pasu menghampiri zon merah dengan 39 kes.

Pahang mempunyai hanya satu zon kuning iaitu di Kuantan dengan tiga kes positif sementara Kelantan juga satu zon kuning dengan Kota Bharu lima kes diikuti Pulau Pinang dengan dua zon kuning (20 kes positif Covid-19), Negeri Sembilan juga dua zon kuning iaitu di Port Dickson dengan 1 kes, dan Seremban 2 kes.

Johor juga mempunyai dua zon kuning dimana Johor Bahru dengan 26 kes, dan Batu Pahat 1 kes.

Kedah mempunyai tujuh zon kuning dan tiga dearahnya masih berada di zon hijau.

Terengganu pula mempunyai lima zon kuning dengan hanya 15 kes positif Covid-19, Sarawak juga mempunyai lima zon kuning juga dengan 15 kes.

Negeri Melaka dengan dua zon kuning diikuti Perak dengan tiga zon kuning melibatkan 15 kes positif, Putrajaya dengan 13 kes dan keempat-empat mukim di Kuala Lumpur mencatatkan zon kuning dengan 28 kes.

Perlis bagaimanapun masih bebas penularan Covid-19.

Sabah juga mencatatkan jumlah zon kuning tertinggi dengan 13 zon kuning dan hanya tinggal dua zon hijau iaitu di Nabawan dan Tongod yang masih belum mencatatkan sebarang kes positif Covid-19. – MalaysiaGazette.