Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini menolak peletakan jawatan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Presiden KFA.

Timbalan Presiden KFA Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata keputusan dibuat pada mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan setelah mengambil kira pencapaian baik yang ditunjukkan Menteri Besar Kedah itu dalam mentadbir dan menyelesaikan beberapa isu berbangkit sejak menerajui KFA.

“Pagi ini, Jawatankuasa Eksekutif KFA bagi sesi 2018-2022 telah mengadakan mesyuarat khas, membincangkan surat peletakan jawatan bertarikh 25 Sept lalu yang dihantar oleh Presiden KFA itu.

“Beliau (Muhammad Sanusi) menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Presiden KFA berkuat kuasa 15 Okt ini, tetapi kita sebulat suara menolak peletakan jawatan itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini.

Abdul Rahman berkata tiada sebab kukuh untuk Muhammad Sanusi meletak jawatan selepas berjaya menyelesaikan beberapa masalah besar dalam persatuan itu dan secara tidak langsung telah memberi motivasi kepada pasukan Kedah yang kini merupakan pasukan kedua terbaik Liga Super.

Ditanya mengenai tindakan KFA sekiranya Muhammad Sanusi tetap dengan pendirian meletakan jawatan, Abdul Rahman berkata mereka akan cuba merayu agar beliau terus memimpin KFA sekurang-kurangnya hingga tamat musim ini.

“Itu tempoh minimum yang kita minta tapi berharap beliau akan terus memimpin KFA hingga habis penggal iaitu pada 2022. Kita harap dia dapat pertimbangkan jawatan tersebut dan setakat ini Jawatankuasa Eksekutif KFA belum memikirkan calon lain bagi jawatan berkenaan,” katanya.

Mengenai logo dan nama pasukan Kedah yang akan digunakan bagi saingan musim akan datang, beliau berkata KFA telah membuka pertandingan mencipta logo kepada peminat pasukan Hijau Kuning tersebut.

“Sedia maklum, sebelum ini kita kesuntukan masa untuk buat permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia. Logo sebelum ini cuma untuk pendaftaran dan logo sebenar akan diputuskan melalui pertandingan nanti.

“Bagi nama pasukan pula, setakat ini yang dipersetujui ialah Darul Aman FC tetapi sekiranya pihak yang memiliki pasukan hendak ubah nama, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

— BERNAMA