Datuk Kamarudin Jaffar. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 16 ahli Jemaah Tabligh (JT) rakyat Malaysia di India tiba di tanah air hari ini, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaafar.

Menurut beliau, enam JT daripada kumpulan itu menaiki penerbangan Air India Express (IX1922) dari Hyderabad, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.22 petang, manakala 10 JT yang lain menaiki penerbangan Air India Express (IX1622) dari Chennai dan tiba di KLIA pada 4.52 petang.

Terdahulu, beliau berkata, seorang JT di New Delhi pulang ke Malaysia pada 9 Oktober menerusi penerbangan Air India Express (IX1122).

“Dengan kepulangan 17 JT ini, Kementerian Luar telah berjaya membawa pulang seramai 161 daripada 189 ahli JT yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 144 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos dan 18 September,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, semua ahli JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Sehingga hari ini, beliau berkata, masih terdapat 28 JT rakyat Malaysia di India dan kebanyakan mereka telah selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala beberapa orang lagi masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

Penyelarasan usaha untuk membawa mereka pulang sedang dilakukan oleh Perwakilan Malaysia di India, katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan terlibat terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas kerjasama dan komitmen menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

Kamarudin berkata kementerian menerusi Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau isu berkenaan secara rapat dan memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

Kementerian itu juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara urusan pulang 28 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu. – Bernama