PUTRAJAYA – Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diberi pengecualian untuk menjalankan peperiksaan yang dilaksanakan penyedia peperiksaan luar negara atau peperiksaan antarabangsa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut jadual yang ditetapkan.

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu melibatkan seramai 3,031 pelajar tempatan dan 195 pelajar antarabangsa di negeri yang terlibat dengan PKPB iaitu Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut JPT, pelajar perlu mendapatkan surat pengesahan daripada IPTS masing-masing, melibatkan mereka yang mengambil Peperiksaan Cambridge GCE ‘A’ Level, Australian Matriculation (AUSMAT), Canadian Pre-U dan seumpamanya.

Turut terlibat ialah pelajar yang telah berdaftar untuk menduduki peperiksaan dengan penyedia peperiksaan luar negara atau peperiksaan antarabangsa dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

“Pengecualian ini tertakluk kepada pematuhan IPTS terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan keputusan kerajaan dari semasa ke semasa,” menurut JPT. – MalaysiaGazette