A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Cadangan UMNO agar pendaftaran Muafakat Nasional (MN) sebagai sebuah gabungan politik yang sah bakal menguji pendirian Pas dalam MN kerana parti itu baru saja mengulangi ikrar menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, dengan cadangan itu, Biro Politik UMNO secara tidak langsung memberi kata dua kepada Pas – sama ada hendak terus bersama PN atau kembali kepada MN, kata wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin.

Beliau yang mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan berhubung isu itu berkata, jelaslah bahawa kerajaan PN sama ada telah hilang majoriti misterinya atau ibarat telur di hujung tanduk seekor kerbau jantan yang akan berlaga.

“Secara langsung ia memberi kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan pihak-pihak lain bahawa Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, telah hilang sokongan majoriti.

”Lagi pun, majoriti yang didakwa oleh Presiden Bersatu itu hanyalah teori dan tekaan (conjecture). Ia tidak pernah diuji di Dewan Rakyat dan Muhyiddin menggunakan pelbagai tipu helah bagi mengelakkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, katanya, dengan penarikan balik sokong UMNO ini, kedudukan Kerajaan PN semakin tidak menentu.

Kadir menambah, memandangkan sokongan UMNO akan hanya diberikan dengan syarat-syarat baharu, sudah tentu ia lebih ketat.

Namun begitu, beliau yang juga pemerhati politik menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ahmad selepas mesyuarat Biro Politik tanpa menunggu pengesahan Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menunjukkan ‘terdapat’ masalah dalaman dalam parti itu.

”Boleh jadi jika dibawa kepada MT akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT yang ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam Kerajaan PN,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.