Mohd Azhar Che Mat Dali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM6.3 juta berkaitan projek di kementerian itu. foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha politik Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah berjumlah RM6.3 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tertuduh, Mohd Azhar Che Mat Dali didakwa telah meminta dan menerima suapan membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Ketika kelima-lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi, Mohd Azhar kelihatan bersahaja dan sempat menoleh senyum kepada beberapa individu yang menemaninya ke mahkamah hari ini.

Pada awalnya Mohd Azhar hanya menggeleng kepala ketika pertuduhan dibacakan sebelum hakim menegur tertuduh supaya menjawab ya atau tidak, serta minta dibicarakan.

Tertuduh kemudian memohon maaf sebelum mengaku tidak bersalah untuk semua lima pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azhar didakwa meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih sebagai menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaran Bagi Peralatan Perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kesalahan tersebut dilakukan di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang, Kampung Baru, pada 22 Julai 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima pula, Mohd Azhar didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Mohamad semasa menjadi  Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Sejurus selepas tertuduh minta di bicarakan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat bertindak menawarkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Mahadi turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau menganggu dengan saksi pendakwaan.

Namun peguam pembelaan yang mewakili tertuduh, Ariff Azami Hussein, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan pelbagai alasan Mohd Azhar mempunyai isteri dan tujuh anak, selain perlu menanggung ibu mentua.

JDalam rayuannya, tertuduh berkata,  pandemik Covid-19 juga menyebabkan kedudukan kewangan tidak stabil kerana tidak mempunyai pekerjaan sejak tidak lagi berkhidmat untuk Mohamad.

“Anak guam saya juga baharu sahaja diberitahu tentang pendakwaan ini, dia yang ditemani isterinya sebagai penjamin hanya mampu mencari wang berjumlah RM30,000 dalam tempoh 24 jam ini.

Bagaimanapun Azura berkata jumlah RM30,000 itu sangat sedikit berbanding dakwaan kesalahan dilakukan tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin, selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Azura juga dalam nada tegas telah melarang tertuduh dilarang menganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh membayar separuh jumlah jaminan hari ini, manakala selebihnya dibayar pada hari Khamis depan. -MalaysiaGazette