Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2020.

SELEPAS keluar dari Istana Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata, ia bukan kemenangan atau kekalahan kepada mana-mana pihak.

Namun Ketua Pembangkang itu kekal pendirian yang kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ‘jatuh’ namun bunyinya macam sudah isytihar kemenangan kepada pihaknya.

Beliau telah menyerahkan jumlah nombor ahli Parlimen (MP) menyokongnya tetapi bukan senarai nama MP kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) baru-baru ini.

Pastinya ia masih menjadi tanda-tanya hendak-hendak lagi masih belum ada MP selain Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan kepada Anwar secara terang-terangan.

Ada kata itu strategi Anwar. Jika diumumkan senarai MP awal-awal, MP berkenaan akan menghadapi tekanan dan jalan selamat zip mulut. Biar masing-masing mengaku di hadapan Yang Dipertuan Agong (YDPA) dulu agaknya.

Yang ada hanya senarai nama tersebar di media sosial dan aduan polis daripada MP yang menafikan dirinya menyokong Anwar.

Namun ada juga kata ia hanya salah satu bidak dalam percaturan politik dan ada kata Anwar hanya mewakili kawan-kawan untuk memberi peringatan kepada kerajaan Muhyiddin.

Pada hari yang sama, Muhyiddin menyatakan beliau tidak menghiraukan sangat tindakan Anwar berjumpa YDPA kerana yakin kebijaksanaan YDPA menangani masalah yang berlaku.

Beliau mahu menumpukan usaha menangani Covid-19 daripada berbicara soal politik kerana bimbang rakyat marah kerana mengutamakan perebutan kuasa dalam keadaan genting pandemik sekarang.

Pun begitu, sifat tidak mahu mengulas itu dalam sudut pandang politik bukan membiarkan sahaja apa yang berlaku, sudah tentu ada strategi tersendiri dari Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Tapi belum habis cerita Anwar, veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pula menghadap YDPA dan kemudiannya menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai perlunya usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri sekarang.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga ada membuat usul yang sama namun hal-hal kerajaan diutamakan menjadikan usul berkenaan tidak dibentang di Dewan Rakyat.

Perkara yang sama mungkin berlaku juga pada sidang Dewan Rakyat pada November ini kerana perkara utama sudah tentu Belanjawan 2021 dan aspek menangani penularan Covid-19. Lain-lain usul kena ikut giliran, silap-silap habis tempoh bersidang pun tiada usul berkenaan.

Samalah dengan usul RUU355 Pas semasa BN menjadi kerajaan dahulu – akhirnya hilang begitu sahaja.

Namun ramai menjangka jika Ku Li berjaya membawa usul berkenaan, beliau sendiri disebut-sebut menjadi PM interim sebelum PRU-15 dilaksanakan.

Malah ada beranggapan Ku Li berkerjasama dengan bekas musuhnya, Mahathir untuk ‘menumbangkan’ Muhyiddin dan membentuk kerajaan dengan sokongan ahli-ahli MP.

Dalam masa yang sama, Biro Politik UMNO pula memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas lima jam bermesyuarat dan parti itu meletakkan syarat segala kerjasama dibuat secara hitam putih atau mereka akan meninggalkan PN.

Ia mengesahkan dakwaan UMNO ‘dibuli’ PN sejak duduk bersama dalam kerajaan dan kesabaran parti itu ada hadnya.

Dalam masa yang sama, ada pemimpin UMNO mendesak kerajaan PN memenuhi permintaan syarat yang diberi atau mungkin ada MP UMNO secara individu beralih kepada Anwar.

Yang diam cuma Pas dan DAP. Bagi Pas sebelah kaki di PN dan sebelah kaki di Muafakat Nasional tetapi pasti akan menyatakan pendirian sekiranya dalam keadaan terdesak.

DAP masih dalam keliru namun apa pun pasti ‘menumpang semangkuk’ sekiranya strategi Anwar menjadi.

Kalau dilihat tekanan yang diterima Muhyiddin seperti dirancang. Ia datang serentak – seakan bidak catur – menunggu siapa yang dulu checkmate.

Jika ada pihak yang menang pun kisah perebutan kuasa masih ada siri-sirinya lagi selepas itu.

Apa pun, jalan penyelesaian terbaik masih PRU-15 dan marilah kita berharap penularan pandemik Covid-19 terlerai dan memungkinkannya proses rakyat memilih berlaku.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bila Anwar pergi Istana Negara..

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Media yg puji Ku Li berpengalaman dalam politik negara. Tapi aturan susunan usul mesyuarat dlm parlimen pun masih tak tahu. No wonder he is what he is today.

Comments are closed.