Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan akan membawa senarai majoriti ahli Parlimen menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

ESOK, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan akan membawa senarai majoriti ahli Parlimen menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Walaupun tinggal sehari lagi, rata-rata masih tertanya-tanya siapa MP yang menyokong Ketua Pembangkang itu?

Seperti biasa, senarai nama dan ahli Kabinet baharu Anwar sudah jadi troll. Tular dan menjadi lelucon dalam kalangan netizen dan pimpinan politik kerajaan.

Malah setiap hari juga banyak MP kecuali dari Pakatan Harapan (PH) menafikan dirinya menyokong Anwar sampai ada yang buat aduan polis selepas penafiannya tidak diendah.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan seperti contoh menganggap senarai ahli Kabinet Anwar yang tular sekadar fatamorgana.

Setiausaha Agung BN dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa pun kata, setakat ini tiada ketetapan pucuk pimpinan UMNO dan BN ada menyertai Anwar.

Pas dan MCA juga menafikannya dan ikrar taat setia kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah ada kata pimpinan PH sendiri keliru. DAP pada mulanya menyangka ia sokongan daripada GPS tetapi GPS sendiri sudah menafikan.

Anwar juga kata barisan MP bersamanya adalah daripada Melayu dan Islam, jadi ia ‘memeningkan’ kepala DAP dan Amanah juga.

Adakah mereka perlu bersama Pas, UMNO? Pas dan UMNO juga sudah tentu tidak selesa.

Satu lagi, bolehkah kerajaan baharu pimpinan Anwar menafikan hak DAP yang ada 42 kerusi Parlimen untuk menubuhkan kerajaan dominasi Islam dan bumiputera?

Walaupun ada pihak mengaitkan Anwar seperti cerita ‘pengembala kambing dengan serigala’ selepas apa yang berlaku pada September 2008 namun kali ini masih ramai dalam mood yakin tetapi dalam masa yang sama curiga.

Dalam insiden tahun 2008, ramai wakil rakyat sebelah Anwar ketika itu sudah pakai sut lengkap mahu jadi menteri namun akhirnya ‘berkampung’ di Kampung Baru sahaja sepanjang hari.

Tapi kita perlu ingat Anwar bukan sembarangan. Beliau sudah lama dalam politik. Beliau ada ‘hubungan peribadi’ dengan kebanyakan MP senior walaupun berlainan parti.

Namun dalam masa yang sama, Muhyiddin juga tidak kurangnya seniornya. Gerak langkah Anwar sudah tentu dikesan lebih awal.

Jangan lupa kepada kepakaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menafsir gerak politik yang sama.

Kita ada 222 MP semuanya. Tolak campur dan bahagi sudah tentu mereka boleh agak siapa yang akan ‘bernaung’ dengan Anwar.

Atau mungkin ada kejutan, siapa yang tahu?

Mungkin ada berpendapat, hasrat Anwar juga dipersetujui setengah MP UMNO selepas mendakwa mereka ‘dibuli’ oleh Bersatu.

Mungkin ‘kerjasama’ akan berlaku antara MP dengan MP bukan secara blok untuk menyokong Anwar.

Ia juga mungkin juga signal kepada Bersatu di bawah pimpinan Muhyiddin yang didakwa banyak membuli UMNO. Jauh di sudut hati UMNO, mereka remuk melihat partinya ‘dibuli’ oleh parti serpihan mereka sendiri.

Lebih-lebih lagi parti itu minoriti selepas ‘perpecahan’ dengan puak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membentuk Parti Pejuang.

Mahathir juga memperlekeh tindakan Anwar dengan mengatakan bekas timbalannya itu bukan sekali pernah merasa ada majoriti menyokongnya. Kali ini memang sah tidak ada lagi kerjasama dengan Anwar dan Mahathir lagi kerana sudah dua kali terkena.

Namun sudah pasti ramai tercari-cari formula apa yang ada pada Anwar. Jika dulu dianggap sekadar ‘talian hayat’ kepada Warisan dalam PRN Sabah tapi kali ini sudah tentu ia berbeza.

Anwar sudah ada nombor kembali tular tapi ada yang kata ia sekadar ‘umpan’ bagi menarik minat MP yang ada untuk lompat bersamanya pada saat-saat akhir.

Jika benar ternyata ia kerjasama antara MP dan MP dan tidak mustahil ada juga Pas menyertainya walaupun ramai lihat mustahil Pas kembali bertaut dengan DAP atau dengan serpihannya, Amanah.

Kenyataan Ahmad Zahid seperti laporan sebuah portal yang akan menilai secara bijaksana dahulu apa isi persembahan Anwar kepada YDPA juga boleh dibaca walaupun ramai MP UMNO menafikannya.

Kalau berlaku seperti ramalan itu – sejarah politik pasti berubah.

Namun kuasa terletak pada YDPA. Sama ada beliau terima atau tidak, lambat atau cepat, Seri Paduka ada kebijaksanaannya.

Apa berlaku seperti sebelum ini banyak mengajar semua pihak walaupun menyedari pilihan raya umum langkah terbaik namun impak Covid-19 dalam PRN Sabah memungkinkannya tidak berlaku dalam masa terdekat.

Mungkin apabila berlaku perpecahan sokongan, ada Perdana Menteri Interim sementara menunggu PRU-15 diadakan.

Sementara itu, mungkin pemilihan diadakan di sidang Dewan Rakyat – biar jelas siapa sokong siapa?

PM interim pula mungkin Anwar, mungkin Muhyiddin atau mungkin Ku Li – yang dilihat agak bebas dan dihormati kawan dan lawan walaupun mewakili UMNO.

Ataupun dek kerana Covid-19 mengganas semula, semuanya tidak akan berlaku apa-apa dalam masa terdekat. Segalanya mungkin.- MalaysiaGazette