Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

KUALA KUBU BHARU – Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan penuh strategi meletakkan calon anak tempatan akan dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meletakkan Khairul Azhari Saut sebagai calon adalah kerana beliau merupakan pemimpin setempat yang berpengalaman luas serta dekat dengan masyarakat.

“Walaupun Selangor dipimpin Kerajaan Perpaduan,  tetapi kita minta pengundi Kuala Kubu Baharu memberi peluang kepada kita supaya suara yang lebih lantang dibawa ke dalam sidang DUN bagi mengetengahkan pelbagai isu dan masalah yang berkait rakyat.

“Banyak isu cukup membebankan rakyat, di hadapan saya ini petugas media, tetapi (anda) tetap rakyat biasa yang paling ketara menghadapi masalah subsidi, kos sara hidup, kenaikan harga barang, masalah cukai yang bertambah enam kepada lapan peratus serta banyak lagi isu tempatan lain,” katanya kepada media di pusat penamaan calon, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada calon PN, Khairul Azhari 54 yang bertanding kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Muhyiddin turut menjelaskan PN akan menggerakkan kempen yang lebih ekstrem yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dimulakan di semua peringkat.

“Harapan saya, beri sokongan sebanyak-banyaknya kepada calon PN kerana bagi kami, ini masa amat sesuai selepas rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri ( PRN).

“PRK ini satu peluang kepada kita (PN) memperoleh maklum balas sebuah referendum mengenai pendirian rakyat dan kerajaan yang ada pada hari ini baik di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette