KUALA KUBU BHARU – Kemunculan tiga calon bebas, iaitu Nyau Ke Xin, Chen Bong Lai dan Hafizah Zainudin menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu meriah.
Calon bebas pertama, Ke Xin tiba jam 9.23 pagi menyerahkan borang pencalonanya.
Seorang lagi calon bebas adalah Chen Bong Lai tiba di pusat penamaan dan menyerahkannya jam 9.53 pagi.
Saat-saat proses penamaan calon menghampiri jam 10 pagi, muncul pula calon ketiga bebas, Hafizah Zainudin.
Hafizah bagaimana disahkan mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM), apabila Bong Lai menarik balik borangnya pada saat-saat akhir.
Terdahulu calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut selesai menyerahkan borangnya jam 9.15 pagi diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao selang lima minit kemudian.
Pengumuman itu dibuat Pengurus Pilihan Raya Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin sebaik proses penyerahan borang pencalonan ditutup jam 10 pagi.
Proses penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu berjalan lancar walaupun dengan kehadiran penyokong dari kedua-dua parti terbesar iaitu PH dan PN.
Setelah selesai proses penamaan, maka bermulalah proses kempen selama 14 bermula hari ini.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Turut bertanding calon MUDA, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chen Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette