KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super India, East Bengal mengumumkan bekas penyerang England dan Liverpool, Robbie Fowler sebagai ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan liga ISL yang akan kembali bersambung bulan depan.

Pelantikan pengendali yang berusia 45 tahun itu disahkan minggu dan legenda itu akan dibantu oleh bekas pemain tengah Manchester City, Anthony Grant dan bekas pemain skuad kebangsaan India, Renedy Singh.

Malah, Fowler turut membawa bekas penjaga gol Tottenham Hotspur, Robert Mimms sebagai jurulatih penjaga gol.
Selain itu, East Bengal turut melantik pakar sains sukan berpengalaman yang pernah berkhidmat dengan beberapa kelab England seperti Macclesfield Town dan Bury iaitu Jack Inman.

Misi Fowler adalah untuk membawa kelab tersebut muncul sebagai juara liga sekaligus menempah tiket ke saingan AFC Champions League 2022.

Bola sepak Asia bukanlah asing bagi Fowler kerana sebelum ini dia pernah mengendalikan kelab Thailand, Muangthong United. – MalaysiaGazette