Arkib

KUALA LUMPUR- Aktiviti sukan di gimnasium, padang bola sepak komersil dan pusat futsal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan bermula Isnin ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi.

Bagi aktiviti di padang bola sepak komersil dan pusat futsal, hanya aktiviti latihan dengan tidak lebih 10 peserta dibenarkan.

“Sidang khas hari ini telah mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan dengan aktiviti sukan di gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal di kawasan PKPB.

“Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, maka Sidang Khas hari ini bersetuju untuk membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya semasa sidang media di Facebook hari ini.

SOP selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat, tambahnya.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri mengumumkan fasiliti kesihatan sementara di dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bakal beroperasi Selasa ini.

Fasiliti yang boleh menempatkan sehingga 250 orang termasuk pesakit dari penjara-penjara sekitar Kedah itu melibatkan dua blok bangunan bengkel sedia ada dalam kawasan Penjara Pokok Sena.

Ia akan digunakan sebagai fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk yang memerlukan bantuan oksigen.- MalaysiaGazette