Zulin Aziz

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz melahirkan rasa tidak puas hati apabila namanya dikaitkan dengan beberapa suspek sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes Macau Scam.

Zulin berkata, tidak patut namanya terpalit sama dalam menjalankan aktiviti tidak bermoral itu sedangkan dakwanya dia hanya menjalinkan hubungan sebagai rakan dan tidak lebih daripada itu dengan mereka.

“Bodoh manalah yang fitnah tak habis-habis ni. Aku dah rimas dengan komen tak habis-habis pasal scammer (penipu). Apa kena mengena dengan aku?

“Kalau aku kenal pun jadi apa isunya dengan masalah dia?Aku takde buat perniagaan mahupun kaitan dengan gejala sosial yang lain. Aku pergi rumah masak-masak, main dengan anak-anak dia.

Sebelum ini, imej Zulin dirakam bersama suspek tular hingga namanya dikaitkan bersubahat dengan suspek-suspek Macau Scam.

Pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz itu juga menjelaskan adalah tidak wajar namanya mendapat tempias hanya disebabkan dia berkawan dengan beberapa suspek terbabit.

“Kalau mak cik tangkap gambar dengan mak cik jual nasi lemak pun korang tularkan mak cik tu ke? Mak cik tu penipu ke? Pakailah otak. Kita kawan dengan semua orang.

“Kalau kawan kita kena tangkap hisap dadah, kita pun kena tangkap hisap dadah ke? Lainlah aku sahabat sehidup semati, duduk serumah ke apa.

“Ni nak jadi saksi pun tak layak sebab aku bukan selalu…. Aku kenal je. Bangkai betul perangai. Haih,” katanya.

Menurut Zulin, 29, kes terbabit masih dalam siasatan, justeru netizen tidak harus cepat menjatuhkan hukum.

“Tak tahu betul atau tak, dah jatuh hukum sendiri. Kalau fitnah macam mana? Kalau betul kita doakan semoga mereka dihukum. Kalau tak benar, siapa fitnah tu sendiri mahu ingat.

“Sebarkan benda yang sahih dan bukti selepad daripada siasatan, bukan siasatan tengah dijalankan, semua dok buat pandai. Apa ke bodohnya korang, tak ada kerja ke?” katanya.

Dia juga menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya pihak yang memfitnah tidak tampil dan membetulkan keadaan.

“Tolong tag mana satu yang fitnah tu. Aku kena betulkan keadaan dan ambil tindakan. Korang ni naik lemak. Ingat diri tu Tuhan ke?

“Esok lusa kena fitnah, kena kat ahli keluarga kena batang hidung baru tahu. Ya Allah, kau makbulkan doa orang yang teraniaya ni. Amin Ya Rabb,” katanya. – MalaysiaGazette