Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang peniaga kosmetik warga Thailand cedera selepas beg silangnya diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal di Cheras Traders, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa berusia 29 tahun yang memaklumkan beliau telah diragut pada pukul 7.30 malam.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan dikatakan sedang berjalan sebelum dihampiri sebuah motosikal yang dinaiki seorag suspek lelaki sebelum bertindak meragut beg silang dan menyebabkan mangsa jatuh terseret.

“Wanita itu memaklumkan beg silangnya mengandungi sejumlah wang tunai, dokumen peribadi dan juga dua telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan akibat terseret.

Menurut beliau, polis telah mempergiatkan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kejadian ragut itu menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurfaezatul Akma Rofiee di talian 017-5443931 atau mengunjungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette