Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 khususnya di Selangor.
Susulan itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat menghargai usaha para doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19.
“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana Baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Munir, Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat-tempat awam.
Tambah beliau, Baginda meminta individu-individu yang pernah pergi ke lokasi-lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah, hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.
“Tegas Baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin amat dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang kini sedang bergelut dengan wabak Covid-19, terpaksa pula berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut beliau, Baginda telah banyak kali menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air semenjak tahun 2009 lagi, supaya masalah air tidak dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.
“Surat Baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 8 September 2020,” tambah beliau.
Kata Mohamad Munir, dalam surat tersebut, Baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih berulang sehingga menyusahkan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast