Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebur Baru di Labuan diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 21 Oktober sehingga 3 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat berikutan perkembangan semasa peningkatan kes positif Covid-19 di kedua-dua kampung air berkenaan.

Katanya, seramai 8,062 orang penduduk di kedua-dua buah kampung itu tidak dibenarkan keluar daripada kawasan berkenaan termasuklah yang bekerja di luar.

“Penduduk terlibat perlu menjalani kuarantin di rumah dan memakai gelang pengawasan kepada kontak rapat dan mereka yang bergerjala (yang telah diambil sampel).

“Pergerakan keluar masuk di PKPD tidak dibenarkan sama sekali kecuali melibatkan kecemasan, penduduk bekerja juga tidak dibenarkan keluar. Ini total lockdown,” katanya ketika sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, PKPD yang dibuat untuk memudahkan proses saringan dibuat oleh KKM.

Bagaimanapun ujar beliau, kedai runcit, restoran masih dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang hanya untuk bungkusan makanan dan bawa pulang sahaja.

“Perlu berada di rumah semua aktiviti sosial, keagamaan dan segala perhimpunan tidak dibenarkan.

“Walaubagaimanapun kita beri sedikit kelonggaran kedai-kedai runcit dan premis makanan untuk dibawa pulang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette