Rokok tiruan berjenama John yang disembunyikan sebuah syarikat tempatan di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang untuk pasaran di dalam negara berjaya dirampas Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Tembelang sebuah syarikat tempatan di Petaling Jaya dekat sini yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan rokok tiruan dalam kontena dengan alasan untuk eksport ke luar negara terbongkar.

Perbuatan mencurigakan itu akhirnya berjaya dipatahkan pihak Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam satu operasi pembanterasan kegiatan mengimport dan mengedar rokok tiruan di Pelabuhan Klang pada 21 Oktober lalu, seramai sembilan penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyerbu satu kawasan di Pelabuhan Klang hasil risikan dan maklumat yang diterima.

Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan bersama wakil pemilik cap dagang jenama John,  terdapat sejumlah 520,000 kotak rokok yang disyaki tiruan disimpan di salah satu kontena di pelabuhan tersebut.

“Kesemua barang tiruan tersebut telah dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,380,000.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati rokok tiruan ini diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya yang disimpan sementara di Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan awal ke atas wakil pihak syarikat memberi alasan rokok tersebut adalah untuk tujuan dieksport semula ke luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman. foto NOOREEZA HASHIM, 23 DISEMBER 2019.

Tambah Iskandar Halim, hasil pemeriksaan awal yang dilakukan pihak KPDNHEP terhadap ciri fizikal kotak rokok tersebut amat meragukan dan disyaki untuk pasaran tempatan.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

“Jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bahagian penguat kuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undangundang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Kes itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline  1-800-886-800, whatsapp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC).- MalaysiaGazette