KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi diteruskan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKKB) namun ia tidak menarik orang ramai untuk berkunjung ke pusat beli-belah atau pasar-pasar raya.

Ini menyebabkan kebanyakan  pusat beli belah dan pasar raya di lokasi-lokasi PKPB sunyi dan lenggang tanpa kehadiran orang ramai.

Negeri-negeri yang dikenakan PKPB termasuklah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah berikutan peningkatan penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan kru MalaysiaGazette di beberapa pusat beli belah terkenal di bandar raya ini sehari suntuk semalam, mendapati jumlah pengunjung yang berada di tempat-tempat ini agak menurun secara mendadak.

Difahamkan suasana muram ini berlaku sebelum pelaksanaan PKPB dikuatkuasakan lagi.

Lazimnya, tempat-tempat ini selalu sesak atau sekarang-kurangnya ada juga segelintir orang keluar membeli belah, walaupun sekadar berjalan-jalan dan melepak.

Atau sekurang-kurangnya duduk makan sambil minum kopi.

Namun, keadaan luar biasa sekali apabila tempat-tempat yang menjadi pilihan warga kota ini lengang.

Malah pasar raya yang menjadi tumpuan membeli keperluan harian juga agak sunyi dan jumlah yang keluar melakukan pembelian juga boleh di kira dengan jari sahaja.

Tempat-tempat makan seperti ‘food court’ atau medan selera dalam pusat beli belah juga agak kurang pelanggan.

Ada juga kedai yang tidak ada pelanggan langsung walaupun jam menunjukkan 1 tengah hari.

Ketika ditanya, ada yang memberitahu sejak pagi tidak ada langsung pelanggan dan agak menyedihkan kerana keadaan ini sudah bermula sebelum PKPB lagi.

“Memang kurang malah ada juga hari-hari tiada pelanggan. Selalunya hanya ada pekerja sahaja dalam pusat beli belah ini, itupun agak sedikit boleh kira dengan jari.

Peruncit memang sudah mula rugi walaupun sebelum bermulanya PKPB,” kata seorang pemilik gerai makanan.

Bukan sahaja tempat makan seperti restoran dan gerai, kedai-kedai yang lain juga mengalami nasib sama.

Seorang jurujual kedai barangan cenderamata dan keperluan lain memberitahu, sejak pagi memang langsung tiada pelanggan.

“Saya pun tidak pasti sampai bila begini, ada juga hari langsung tiada jualan, bukan sahaja PKPB tapi sejak Covid-19 semuanya seperti ini,” katanya enggan dikenali.

MalaysiaGazette juga mendapati harga barangan juga diberikan diskaun tinggi malah harga makanan juga telah diturunkan dengan ada segelintir tempat menawarkan’ beli satu percuma satu’ namun strategi itu juga tidak begitu mendapat sambutan.

Ruangan parkir kereta juga bukan satu kebimbangan lagi kerana keadaan lengang.

Cuma kedai menjual makanan segera sedikit sibuk berbanding yang lain-lain.

Restoran makanan segera yang menyediakan pandu lalu agak sesak dengan pelanggan mahu membeli pulang.

Daripada pemerhatian MalaysiaGazette mendapati, pusat beli-belah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Pintu masuk setiap pusat beli-belah serta pasar raya  dilengkapi pengawal yang menjalankan saringan kesihatan ke atas pengunjung serta mendaftar diri sebelum mereka dibenarkan masuk ke premis berkenaan.

Pekerja di situ juga kelihatan begitu prihatin kerana kerap meminta mana-mana pengunjung memakai pelitup muka dengan betul dan sentiasa menjaga jarak masing-masing. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. As”kum, kami juga meninjau dan Terima pendapat dari owner owner kedai di pusat membeli belah seperti Nu Sentral, Pavillion KL yang mengatakan mereka mengalami kerugian teruk dan tidak dapat capai KPI untuk menampung kos perbelanjaan makanan malah lagi nak bayar sewa kedai dan gaji pekerja. Kami mendesak pihak Kerajaan supaya segera mencari jalan penyelesaian kepada mereka , walaupun semua pihak terasa masalah disebabkan pandemik covid ini tetapi kita seharusnya membantu sektor ekonomi khas untuk restoran restoran dikawasan zon merah atau PKPB.

Comments are closed.