JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor mencari jalan bagi membantu 150 peniaga di Terminal Bas Larkin Sentral yang terjejas berikutan pandemik COVID-19, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang antara peniaga dan pihak pengurusan terminal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama peniaga dan pengurusan esok berhubung langkah pemberian potongan sewa kepada peniaga.

“Kami akan lihat kaedah terbaik. Kaedah yang boleh diberikan adalah antaranya pengurangan, itu yang saya akan sarankan.

“Tetapi pada masa sama, saya akan lihat juga kedudukan kewangan pihak pengurusan kerana mereka juga ada tanggungjawab… jadi saya harapkan situasi menang-menang,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Program 3P (Pemulihan, Pemerkasaan dan Peningkatan) Geran Food Truck Johor, di sini, hari ini.

Mohd Izhar berkata, pihak pengurusan Larkin Sentral sebelum ini telah memberi rebat penyewaan sebanyak 50 peratus kepada peniaga jenis keperluan dan 100 peratus kepada peniaga bukan keperluan bermula dari 18 Mac hingga 30 April lepas.

Sementara, rebat penyewaan bagi bulan Mei dan Jun pula bermula dengan kadar potongan 30 peratus hingga 50 peratus mengikut jenis perniagaan yang dijalankan.

“Pengurusan juga perlu kutip dana untuk tampung kos mereka. Dari Jun hingga September lepas baharu mereka dapat rasa kutipan sewa penuh. Tetapi berlaku lagi tekanan kepada peniaga yang mana mereka tidak boleh bertahan… sebab itu, kami akan adakan mesyuarat esok (untuk cari jalan penyelesaian),” katanya.

Peniaga di terminal berkenaan dilaporkan bakal gulung tikar selepas tidak mampu membayar wang sewaan berikutan kekurangan pelanggan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas khususnya selepas penutupan sempadan yang menjejaskan jumlah pengguna berulang-alik ke Singapura. – Bernama