DI KALA Covid-19 sedang menggila bukan sahaja di negara ini sebaliknya di seluruh dunia dengan angka kes positifnya 43,777,118 dan kematian berikutan pandemik itu pula mencatatkan 1,164,516 secara global.

Kita pula mencatatkan angka tertinggi semalam sebanyak 1,240 kes positif serta angka keseluruhannya sejak awal tahun ini sebanyak 27,805 kes dan kematian 236 setakat ini.

Sememangnya itu menakutkan, menggerunkan kita. Tidak cukup dengan itu kita juga kini sedang berhadapan ketidakstabilan politik hampir saban hari sehingga ada kalanya timbal persoalan manakah lebih penting, Covid-19 ataupun situasi politik haru biru ini.

Ingin sekali saya kongsikan pemahamaan saya tentang ‘Perjanjian Hudaibiyah’ yang mungkin sekali relevan dengan apa yang sedang dihadapi kita saat ini.

Perjanjian Hudaibiyah adalah perjanjian antara kaum Muslimin Madinah dengan kaum Quraisy Mekah pada tahun keenam selepas Nabi Muhamad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah rombongan kaum Muslimin yang hendak melakukan ibadah haji dihalang masuk ke Mekah oleh kaum Quraisy Mekah.

Hasil kehebatan diplomasi dan rundingan oleh Nabi Muhammad SAW terserlah apabila kedua-dua pihak kemudian bersepakat untuk mengadakan satu perjanjian gencatan senjata selama 10 tahun.

Pada masa itu, penerimaaan Nabi Muhammad SAW terhadap Perjanjian Hudaibiyah telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan umat Islam.

Beberapa sahabat Nabi termasuk Sayyidina Umar Khattab berpendapat perjanjian itu tidak diperlukan oleh orang Islam kerana orang Arab Quraisy sebenarnya dalam kedudukan lemah akibat kekalahan teruk dalam Perang Khandak.

Namun, atas dasar taat setia kepada nabi perjanjian tersebut dihormati sepenuhnya oleh mereka seperti kehendaknya.

Perjanjian tersebut telah memberi peluang kepada umat Islam untuk berdakwah dan berbincang mengenai Islam secara lebih meluas tanpa sekatan menggunakan kekerasan sehingga lebih ramai yang memeluk Islam termasuk tokoh Islam seperti Khalid ibnu Walid dan ‘Amru al-‘As.

Selain membuka ruang untuk penyebaran agama Islam secara aman, genjatan senjata ini juga telah memberi peluang kepada Rasulullah untuk berdakwah melalui pengutusan surat kepada Raja Rom, Parsi, Damsyik serta beberapa kerajaan lain yang juga menyebabkan penyebaran Islam secara meluas.

Tidak dapat dinafikan titah Yang Dipertuan Agong hasil dari sidang Majlis Raja-Raja Melayu yang secara jelas dan tegas mendesak pimpinan parti-parti politik dan seluruh ahli Parlimen untuk dilakukan segera gencatan politik ketika ini.

Selain itu juga nasihat rekonsiliasi politik (political reconcilation) agar rakyat dan negara tidak terkesan teruk hasil impak pandemik Covid-19 yang juga sebenarnya mirip kepada apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada Tahun 628 dulu.

Saat semakin meningkat kes positif, rakyat negara kita pula resah gelisah kerana hilang punca pendapatan termasuklah ekonomi negara merosot 17.1 peratus semenjak Malaysia  berdepan Covid-19 awal tahun ini.

Justeru itu, semua ahli politik tidak kira parti mana sekalipun wajar melakukan gencatan politik dan rekonsiliasi yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA).

Inilah masanya untuk terbaik untuk kita sama-sama mengetepikan perbezaan fahaman politik serta sedaya upaya memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

Melalui pelaksanaan gencatan politik dan rekonsiliasi politik, identiti serta ideologi perjuangan parti masing-masing tidak akan dikompromi sama sekali jika itu yang menjadi kebimbangan anda.

Apa yang diharapkan adalah pemimpin dan parti politik negara ini memberi keutamaan kepada  menangguhkan seketika persengketaan mereka di koridor kuasa supaya kestabilan politik negara ini tidak tergugat.

Ini kerana ketidakstabilan politik negara boleh membantutkan kerja-kerja untuk menyelesaikan Covid-19 ini.

Situasi unprecedented phenomenon atau fenomena unik yang tidak pernah dialami iaitu ketidakstabilan politik juga ancaman penyakit yang datang serentak hakikatnya telah memberi kesan cukup besar kepada kemakmuran ekonomi selain mengancam kesejahteraan rakyat.

Kita pula selaku wakil rakyat wajar mengetepikan perbezaan kita dan melangkaui politik pada masa ini memandangkan situasi negara hari ini boleh diibaratkan sebagai fenomena kali pertama di mana ketidakstabilan politik serta ancaman wabak penyakit muncul serentak  memberi impak negatif kepada kemakmuran ekonomi serta rakyat.

Ketidaktentuan politik merupakan gangguan kerana tumpuan dan sumber dialihkan ke kancah politik bukannya ekonomi negara.

Pelabur pula berpotensi menangguhkan pelan perniagaan mereka sehingga politik senario reda dengan ini bermaksud pemulihan ekonomi kita mungkin memakan masa lebih lama jika ketidaktentuan politik lambat diselesaikan.

Saya menyeru kepada semua rakyat agar memainkan peranan dalam menegur dan menasihati pimpinan politik termasuklah diri saya sendiri untuk memberikan fokus yang satu demi kestabilan negara, kebajikan rakyat dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Ini masanya membuktikan perjuangan sebenar masing masing bukan berkisar di sebalik perebutan kuasa  tetapi adalah benar-benar untuk membantu rakyat kerana itulah ikrar janji kita.

Gencatan senjata melalui Perjanjian Hudaibiyah  merupakan titik tolak kepada pembukaan lembaran baru Islam serta tersebarnya Islam ke seluruh tanah Arab dan dunia luar.

Harapan saya adalah hikmah sama turut dirasai melalui manifestasi gencatan politik di antara kita hari ini.

Cuma kali ini diharapkan gencatan politik kita tahan lebih lama daripada gencatan senjata zaman nabi yang hanya bertahan selama dua tahun sebelum perjanjian itu dimungkari kaum Quraisy.

Untuk mengelakkan kemungkaran tersebut berulang kembali, kita juga memerlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memainkan peranan cukup proaktif kali ini.

Walaupun berada di pihak berlainan hari ini, saya pasti Ketua Pembangkang itu tidak akan teragak-agak untuk bekerjasama dengan pihak pimpinan kerajaan hari ini dan patuh pada titah YDPA dengan serius.

Saya yang turut mengenali peribadi beliau sebelum juga yakin beliau tidak akan sesekali menolak permintaan untuk mendahulukan rakyat terlebih dahulu.

Walaupun ada kalanya ada yang menggelar beliau gila kuasa dan sebagainya, saya yakin beliau cukup arif rakyat di kala ini sedang derita dan susah, Anwar mempunyai kebijaksanaan untuk bersabar mungkin 10 minggu atau 10 bulan sehingga kegilaan pandemik ini berakhir.

Ini kerana walaupun haluan yang dipilih kita hari ini cukup berlainan tetapi matlamat akhir perjalanan politik kita adalah sama iaitu memastikan rakyat negara ini aman dan makmur.- MalaysiaGazette

Datuk Seri Dr Santhara Kumar

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan

Ahli Parlimen Segamat

2 Komen

  1. Alhamdulillah, org bkn islam sgt faham tentang apa itu perjanjian hudaibiyah, tapi org islam sama islam asik bergaduh je, dengki mendengki satu sama lain..syabas org bkn islam fhm apa itu islam membawa keamanan…sepatutnya org islam malu k0d org bkn islam..

Comments are closed.