Foto Facebook UiTM FC.

KUALA LUMPUR – Aksi terakhir dengan Sabah pada saingan CIMB Liga Super masih mempunyai 1001 makna buat ketua pasukan UiTM FC, Muhd. Faizal Mohd Arif.

Mereka berharap sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam perlawanan itu bagi meletakkan  skuad The Lions Troop itu berada di tangga keenam liga.

Jika ia menjadi kenyataan, Faizal mengakui situasi itu bakal meletakkan UiTM FC berada dalam laluan sedikit mudah bagi merintis jalan yang lebih jauh dalam pentas TM Piala Malaysia.

Perkara itu berikutan UiTM FC akan berada dalam kalangan lapan pasukan pilihan termasuk dua pasukan teratas Liga Premier, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi berdepan empat pasukan CIMB Liga Super dari kedudukan tujuh hingga 11 dan tiga hingga 5 dari Liga Premier.

“Selagi pertemuan dengan Sabah belum berlangsung, maka saya dan rakan-rakan belum lagi mahu memikirkan lagi saingan TM Piala Malaysia kerana peluang kami dalam saingan itu nanti banyak bergantung terhadap keputusan dengan Sabah.

“Jika kami mampu menang atau sekurang-kurangnya keputusan seri, saya rasa peluang kami mungkin akan lebih baik dalam saingan TM Piala Malaysia kerana di pusingan awal , kami dapat mengelakkan pasukan-pasukan pilihan.

“Saya tidak kata memandang rendah saingan pasukan dari balang kedua itu nanti cuma setidak-tidaknya situasi itu akan memberikan sedikit kelegaan pada kami serta tidak merasai tekanan yang tinggi untuk mencari kemenangan,” katanya.

Perlawanan Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya berlangsung pada 18 Oktober lalu terpaksa dipinda ke 31 Oktober berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Pindaan itu merupakan kali kedua selepas perlawanan asal sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober di Stadium Likas, Kota Kinabalu namun kes mendadak yang dicatatkan di Kota Kinabalu membuatkan perlawanan itu tidak dapat diadakan di sana.

Kedudukan Sabah yang berada di tangga ke-10 sudah terjamin untuk kekal di pentas CIMB Liga Super musim depan dan sebarang kemenangan hanya meletakkan pasukan itu naik ke tangga kesembilan bagi memintas Melaka.

Dalam pada itu, Faizal tidak menafikan kekalahan 2-4 pada perlawanan terakhir dengan PJ City FC sedikit sebanyak ada menggugat keyakinan rakan sepasukannya dan berharap mereka mampu konsisten dalam tiap perlawanan.

“Kami sepatutnya boleh menang dalam perlawanan terakhir itu tetapi apa yang terjadi kami akan jadikan pengajaran agar sentiasa berhati-hati dalam tiap perlawanan.

“Memang prestasi kami kebelakangan ini ada turun naik dan bagi saingan Piala Malaysia, jika kami mahu melangkah jauh, kami perlu perbaiki segala kelemahan yang ada, “ katanya.

Benteng UiTM bolos sebanyak tujuh kali dalam dua perlawanan terakhir CIMB Liga Super termasuk seri 3-3 bertemu Selangor. – MalaysiaGazette